
Salam indah...
Tergerak
di hati berkongsi satu kisah, satu tauladan walau hnya tentang
binatang. Kisah yang menyentuh hati ini ku bawa bersama agar boleh di
kongsi bersama.
"Baru-baru
ini saya ke Negeri Sembilan untuk mengunjungi rumah seorang saudara.
Sewaktu kereta melalui hutan rekreasi Hulu Bendul di kuala Pilah, nun di
depan sana, saya lihat ada sekumpulan monyet mundar-mandir di sisi
jalan yang sibuk. Ia seperti terburu2 untuk melintas. Saya
terus memandu dan sewaktu kereta semakin hampir, saya terkejut kerana
ada seekor monyet menggeletik di atas jalan. Ia baru dilanggar salah
sebuah kereta di hadapan saya. Pantas saya menekan brek dan
memperlahankan kereta.
Kereta
semakin hampir dan dada ini berdebar2 apabila melihat monyet itu terus
menggelupur dan menghempas2 ke atas jalan. Kakinya terketar-ketar. Di
sisinya ada darah dan cebisan daging. Tapi
paling menyentak perasaan saya ialah apabila melihat perutnya yang
buncit itu terburai, dan dari celah luka besar itu tersembul sesuatu
berwarna kelabu. Tahukah pembaca, benda apakah yang saya lihat itu? Benda kelabu itu adalah anak yang masih dalam kandungannya! Pada
ketika itu saya terasa tubuh ini menggeletar. Saya pasti, si ibu monyet
tadi akan mati sebentar lagi. Begitu juga dengan anaknya, nyawanya
melayang sebelum sempat melihat wajah ibu.
Sebaik
melintasinya, saya pandang cermin sisi dan belakang. Saya nampak
kawanan monyet tadi bercempera. Ia berlari-lari mendapatkan si ibu tadi,
tapi kemudian bertempiaran semula ke tepi jalan kerana hampir saja
dilanggar kenderaan yang lalu-lalang. Mungkin kepada pembaca sekalian, apalah ada pada nyawa seekor monyet. Ia hanya monyet. Haiwan hodoh. Hidupnya di hutan, tidak setaraf dengan manusiawi. Tapi tidak kepada saya.
Pulang
bercuti, saya terus catatkan surat ini, kerana peristiwa yang saya
sebutkan tadi sebenarnya telah mengingatkan saya kepada sebuah peristiwa
yang berlaku pada awal 1990-an. Ketika
itu usia saya masih di awal 20-an. Hari itu, saya diajak oleh seorang
bapa saudara untuk memburu di hutan berhampiran rumah. Saya bukanlah
minat memburu, tapi daripada bosan terperap di rumah, saya terima ajakan
bapa saudara saya tadi. Masih
saya ingat, beberapa jam berburu, matahari pun sudah meninggi, tapi
tiada seekor haiwan pun melintas di hadapan kami. Pelanduk, napuh, rusa,
ayam hutan dan burung yang selalu berlegar di hutan itu, seolah-olah
bersembunyi jauh dari kami. Hutan itu sepi. Saya bertambah rimas, pak cik pula saya lihat mula kecewa.
Hari
kian beranjak petang, pak cik menepuk2 senapang Relanya. Kata pak cik,
"Kita balik ajalah, hari ni tak ada apa-apa. Mungkin esok ada habuan." Kami
berjalan pulang, tapi selang dua tiga puluh langkah, kami terdengar
suara riuh-rendah di sebalik pokok2 besar di hadapan kami. Saya
mengamati suara itu, ternyata ia datang dari sekawan monyet yang sedang
memakan buah2 hutan.Saya
perhatikan pak cik begitu berminat memerhatikan haiwan itu. Di bibirnya
ada sebaris senyuman. Senyuman yang saya faham benar maksudnya. Adakah pak cik hendak menembak monyet2 itu?
"Haa. Pak cik nak tembak ibunya, lepas tu pak cik nak ambil anaknya, nanti boleh bela," begitu jawapan pak cik. Masih
saya ingat juga, saya beberapa kali mendesak pak cik supaya membatalkan
hasratnya itu, tapi gagal. Saya gagal mengendurkan niatnya. Tidak
akan saya lupa kata-kata pak cik petang itu, "daripada balik tangan
kosong? " lalu dia mengacukan senapangnya ke arah kawasan monyet tadi,
dan...DAMMM!!! Demi
berdentum saja senapang, bercempera dan lintang-pukang monyet2 tadi
menyelamatkan diri. Hutan itu riuh dengan bunyai ranting patah serta
jerit pekik haiwan berkenaan. BUUUPP! Ada suatu benda yang jatuh ke tanah. Saya terpandang seekor ibu monyet jatuh berdekatan kami.
Saya
dan pak cik terus mendapatkannya. Dari perutnya bercucuran darah pekat.
Anaknya yang tidak mengerti apa2 terlepas dari pelukan, tercampak tidak
jauh dari ibunya sambil menjerit-jerit. Si
ibu merengus2 memanggil anaknya dengan lemah. Ia cuba bangun dengan
bersusah payah sambil tangannya mencapai akar2 pokok untuk mendekati
anaknya. Sebelah tangan lagi menekap perut yang masih berdarah. Ia
berusaha melangkah tapi terjatuh semula. Digagahi lagi sambil
berguling-guling ke arah anaknya. Si anak yang baru pandai berjalan
jatuh, bangun mendapatkan ibunya.Si anak itu terus saja memeluk ibunya yang kesakitan.
Masih
terbayang jelas di ingatan saya bagaimana si ibu monyet tadi memegang
tubuh dan menatap wajah anaknya puas2, kemudian dicium berkali-kali. Setelah
itu dibawa si anak ke dada lalu disuakan susunya. Saya dan pak cik
terdiam melihat si anak mengisap susu manakala ibunya mengerang2
perlahan seakan memujuk sambil menahan sakit. Hati
saya tersentuh. Betapa si anak yang baru melihat dunia tidak tahu
bahawa ibu tempat dia bermanja akan pergi buat selama-lamanya. Saya
tidak mampu menyelami fikiran ibu monyet tadi, tapi mungkin ia ingin
memeluk anaknya buat kali terakhir, sepuas2nya, kerana selepas ini ibu
akan pergi. Ibu
tidak akan dapat memelukmu lagi apabila kau kesejukan, menyuap mulutmu
bila kau merengek kelaparan, juga melindungimu bila kau kepanasan.
Mata
si ibu monyet itu memandang ke arah kami. Tangannya memeluk erat si
anak seolah2 enggan melepaskannya, biarlah ia mati bersama anaknya. Matanya
saya lihat digenangi air, masih tidak lepas memandang kami dengan
pandangan sayu, mungkin ingin menyatakan betapa kejamnya manusia. Dosa apakah yang aku lakukan hingga aku ditembak? Salahkah aku bebas ke sana ke mari di bumi indah ciptaan Allah ini? Tubuh ibu monyet itu berlumuran darah, begitu juga dengan si anak yang masih di pelukannya.
Beberapa
detik kemudian, dengan tenaga yang masih berbaki, kami lihat si ibu
mencium anaknya untuk ke sekian kalinya. Perlahan-lahan tubuhnya
terkulai ditanah, bisa penabur dari muncung senapang pak cik tadi tidak
dapat ditanggung lagi. Si
anak menjerit-jerit memanggil ibunya supaya bangun dan melarikan diri
dari situ, tapi si ibu sudah tidak bernyawa lagi. Puas menjerit, si anak
tadi menyusu semula. Di saat itu perasaan saya terlalu sebak. Saya
perhatikan pak cik, dia beberapa kali menggetap bibir cuba menahan air
matanya daripada tumpah ke pipi. Tapi bila melihat si anak monyet tadi
menjerit dan menggoncang2 tubuh ibunya, akhirnya air mata kami tumpah
juga.
Saya
betul-betul kesal dengan apa yang berlaku. Suasana sunyi kembali. Si
anak monyet itu kami rangkul dan bawa pulang, biarpun ia terus
menjerit-jerit dan enggan berpisah dengan ibunya yang telah mati. Di
dalam kereta saya hanya mendiamkan diri. Begitu juga pak cik. Pada
ketika itu saya dapat merasakan betapa kejamnya kami kerana membunuh
satu nyawa yang tidak berdosa. Biarpun monyet itu hanya haiwan yang
hodoh, tapi mereka juga ada perasaan, ada rasa kasih kepada anak, rasa
sayang kepada ibu. Tapi kita manusia?? Mana hilangnya akal waras kami?
Selang
dua minggu kemudian, anak monyet tadi mengikut jejak ibunya. Pak cik
memberitahu saya, anak monyet itu tidak mahu makan dan asyik menjerit2
sahaja. Mungkin ia rindukan ibunya. Apabila malam, keadaannya bertambah
teruk, dan akhirnya mati.
Kini
saya sudah bekerja dan berumah tangga. Peristiwa tadi sudah saya
ceritakan kepada anak dan isteri saya agar mereka mengerti bahawa haiwan
juga punya perasaan. Yang kejam adalah manusia, walaupun kitalah
satu-satunya makhluk yang Tuhan anugerahkan akal fikiran.Tidak lupa saya
memberitahu mereka betapa agung dan sucinya kasih sayang ibu."
sumber : SIM
p/s : Tumbuh2an dan binatang sentiasa berzikir
kepada Allah SWT tanpa mengira siang atau malam dan apabila matinya
makhluk Allah ini, tidak ada soal jawab sepertimana manusia. Sedangkan
kita sebagai manusia belum tentu mampu untuk berzikir kepada Allah
sepanjang masa. Jazakallahu khairan kathiran.
No comments:
Post a Comment